Gua Gomantong ini terletak di dalam Hutan Simpan Gomantong Kelas VI (Hutan Dara) dengan keluasan 3,297 hektar, dalam Daerah Kinabatangan. Ianya merupakan satu singkapan batu kapur yang membentuk bukit batu kapur yang terbesar di daerah ini.
Gua Gomantong adalah merupakan satu contoh kejayaan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Jabatan Hidupan Liar memastikan pemuliharaan Insitu dua spesis burung layang-layang iaitu Aerodramus fuciphagus dan Aeordramus maximus. Pengurusan penuaian sarang burung yang sistematik memastikan kedua-dua populasi spesis burung layang-layang ini akan terus kekal.
Gua Gomantong ditemui pada 1782 dan C. Bamfyles menyatakan bahawa Pengiran Sandukung, datuk kepada Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey, adalah orang yang pertama menjalankan aktiviti memungut sarang burung di gua itu. Surat Keith H.G. kepada Gabenor Jeselton pada 31 Mac 1949, menjelaskan bahawa sebelum The North Borneo British Chartered Company mengambilalih pentadbiran di Sandakan, Gua Gomantong merupakan hak mutlak dan di bawah kawalan Pengiran Digadong Samah . Pengiran Ebey merupakan pemilik terakhir yang telah terkorban semasa menentang pentadbiran kolonial British.
Tangga sigai bagi mengutip sarang burung telah digunakan ratusan tahun.Antaranya ialah Gegolog, Piattau, Tallok Piattau, Sesungkit, Ambong, Sarapong, Dandan, Kettir dan Jampong. Alatan ini menggunakan bahan daripada rotan, kayu jenis keras, buluh dan dawai. Tangga sigai ini pernah juga digunakan di Gua Madai dan Gua Batu Timbang.
Perkara-Perkara Menarik Di Gua Gomantong
- Aktiviti penuaian sarang burung juga merupakan suatu pemandangan yang sangat unik dan mengkagumkan semasa musim penuaian. Para pekerja yang menuai sarang burung ini menggunakan peralatan tradisional seperti Piatau, gegulug, sesungkit dan ambong dalam melaksanakan kerja-kerja penuaian sarang burung ini. Kesemua peralatan ini dibuat daripada rotan dan bambu. Keupayaan pekerja-pekerja ini menaiki gegulug dan berada di atas piatau yang terapung-apung di langit gua memberikan suatu pemandangan yang luarbiasa kepada para pelawat.
- Pertukaran "syif" di antara burung layang-layang dan kelawar dapat disaksikan pada setiap petang di antara jam 5.15 – 6.15 petang. Pada masa ini pelawat dapat menyaksikan kumpulan kelawar yang dianggarkan sebanyak 2 juta ekor terbang keluar daripada gua manakala burung layang-layang terbang memasuki gua. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas di kawasan mulut gua Simud putih.
- Kehadiran hidupan liar lain seperti Orang utan, Lotong merah, Burung Enggang, Beruk dan Kera di kawasan persekitaran gua juga merupakan suatu perkara yang tidak asing.
- Para pengemar burung juga boleh menjalankan pemerhatian burung di kawasan trail yang telah disediakan.
Info berkaitan
Bayaran masuk : Murid sekolah (RM2.00) / Dewasa (RM5.00) / Bukan Warganegara (RM30.00)
(sumber daripada : jabatan hidupan liar sabah dan wikipedia)